Assalamualaikum.
Maksud perkataan IFTITAH ialah permulaan, pembukaan.
Pada tarikh hari ini 1.7.2015 sepertinya sedang elok aku pilih untuk memulakan penulisan di blog yang kunamakan Minimalist-Me.
Begitu namanya kerana memang nyata diri aku seorang minimalis dalam apa-apa saja.
Kenapa blog?
Kerana sekian lama ditimbang tara, menulis di blog lebih damai.
Berbanding lain-lain wahana.
Blog tidak keterlaluan had panjang pendek tulisan, sesuai untuk menaip huruf demi huruf sepenuhnya atau juga gambar sebanyaknya, tindak balas luaran terhadap kandungan tulisan juga tidak terlalu menerpa, tulisan tidak akan terus menerus sedia terpampang di dalam privasi orang lain.
Maka sesuailah dengan aku yang (sekali lagi) minimalis ini.
Apa tujuan?
Setiap amalan bermula dengan niat.
Fitrah insan cenderung kepada perkara baik-baik.
Dengan kemajuan teknologi seperti di depan mata hari ini, seharusnya kita gunakan peluang untuk menyebarkan kebaikan, mengajak kepada kebaikan, mempromosikan kebaikan.
Akan tetapi itu bukan bererti bahawa semestinya aku baik.
Berbalik kepada asasnya tadi, niat.
Bosan ayat klise tak ada manusia yang sempurna bukan? Aku pun bosan.
Maka kerana itulah kita cuba untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik dari sedia ada.
Mana yang kotor kita bersihkan, mana yang koyak kita jahitkan, mana yang buruk kita indahkan, mana yang sakit kita rawatkan, mana yang salah kita perbetulkan.
Aku selalu rajin berfikir. Macam-macam. Paling gemar berfikir sewaktu aku sedang memandu sendirian.
Selalunya aku fikir perkara yang entah mungkin bagi kalian tak perlu, tak penting.
Tapi aku fikir sampai pening.
Tak apalah sebab penting dalam sesebuah kehidupan itu subjektif.
Jadi aku cuba untuk menzahirkan tiap lintasan fikiran tadi untuk diabadikan di sini.
Manalah tahu, boleh diambil manfaat jika kena pada subjeknya.
Atau paling tidak, sekadar dapat membuka mata hati orang yang singgah membaca pun sudah mencukupi.
Boleh jadi, apa yang akan aku taipkan lagi lepas ini nanti dan nanti ada yang langsung tak kena faktanya. Aku cuba dan sentiasa berusaha untuk pastikan setiap fakta diperoleh dari sumber berwibawa.
Boleh jadi juga, ada bait-bait kata mengundang rasa tak selesa di hati yang membaca. Bagi diri yang masih meniti untuk mencapai tahap kematangan yang benar stabil, secara jujurnya tidaklah pernah terdetik di sanubari untuk sengaja mencakar perasaan sesiapa jua.
Boleh kita ulang semula konsep bahawa hidup ini adalah subjektif.
Dua perkara asas saja yang sebenarnya kita lakukan untuk menjalani kehidupan. Terima dan memberi. Yang ada disyukuri, yang tiada diredai.
Untuk itu, sebagai pembukaan aku mohon keizinan dan kemaafan terlebih dahulu atas segala yang khilaf di mata kalian. Apa juga rasa komentar yang akan datang nanti, aku terima dengan terbuka hati lebih-lebih lagi yang mampu memacu aku kepada unsur-unsur positif dan membawa kepada kebaikan.
Agak panjang juga untuk permulaan.
Berhenti seketika di sini.
Wassalam.